|
1. Meneladani ketokohan seorang pemimpin pelajar 60 tahun dahulu
Kumpulan Tun Abdul Razak
Specialist: Ruzaimi Ramli
Pada tahun 1947, ketika negara kita masih lagi dijajah oleh British, seorang anak muda bernama Abdul Razak telah menjejakkan kaki ke United Kingdom, bukan untuk menyerang penjajah, tetapi menguasai ilmu. Walau jauh beribu batu dari tanah tumpah darah tercinta, fikiran Abdul Razak tetap pada keadaan semasa di Tanah Melayu, didorong oleh rasa cintakan dan sayangkan tanah air. Yang penting sekali, keinginan yang teramat sangat untuk melihat British diusir keluar dari Tanah Melayu.
Sepanjang berada di UK, Abdul Razak menggerakkan Malayan Forum untuk membincangkan isu-isu politik tanahair bersama rakan-rakan senegara yang berada di London ketika itu. Beliau juga menubuhkan Kesatuan Melayu Great Britain, sebuah persatuan pelajar dimana beliau telah menjadi pemimpin yang paling berpengaruh. Selain itu, Abdul Razak juga merupakan ahli parti Buruh (Labour’s Party).
Sekembalinya Abdul Razak ke tanahair, beliau terus melibatkan diri berkhidmat dalam sektor awam, dan seterusnya terlibat dalam politik tanahair. Tahun 1956, beliau kembali lagi ke UK, bukan untuk menyambung pelajaran beliau, tetapi untuk mendapatkan skrol kemerdekaan Tanah Melayu.
Genap 60 tahun selepas Abdul Razak (kini dikenali sebagai Tun Abdul Razak) menjejakkan kaki ke UK, Rahman, seorang pelajar jurusan perubatan telah dihantar ke Ireland, negara bekas jajahan dan jiran Britain. Rahman dihantar ke luar negara dibawah tanggungan Majlis Amanah Rakyat (MARA) iaitu badan kerajaan yang ditubuhkan hasil perlaksanaan DEB yang diperkenalkan oleh Tun Abdul Razak.
Berbeda dengan Abdul Razak 60 tahun dahulu, Rahman tidak kenal apa itu Finna Fail, dan lawannya Fine Gael, apa lagi Tory dan Labour di Britain. Rahman selesa bersama rakan serumah sahaja, jauh sekali ingin melibatkan diri dalam persatuan pelajar. Rahman tidak mampu untuk berkomunikasi dengan lancar dalam Bahasa Inggeris. Pada fikirannya, kedatangan ke Ireland hanyalah untuk bercuti sambil belajar. 5 tahun kemudian Rahman pulang hanya dengan skrol kelulusan pengajian perubatan dan passport penuh dengan cop imigresen negara-negara yang telah beliau lawati. Dan masih lagi tergagap-gagap apabila bertutur dalam bahasa Inggeris?!
Persoalan:
- Apa yang membezakan menuntut di perantauan dengan dalam negara? (Menlai beza belajar di institusi tempatan vs luar negara)
- Berapa tahun lagikah diperlukan untuk menghasilkan seorang lagi Tun Abdul Razak? (Perancangan dan Kesedaran)
- Politik tanahair - kenapa kita tidak ambil peduli? (Memilih jalan mudah untuk mencari alasan tidak mahu ambil tahu hal-hal politik dan kepentingan berpersatuan)
- Sampai bila kita akan berada di pihak yang menerima, dan bukan di pihak yang menyumbang. (Abdul Razak = Penyumbang, Rahman = Penerima)
- Apakah resolusi anda sebagai seorang pelajar luar Negara dan harapan anda kepada masa depan Negara?
2. Hubungan di antara pelajar Malaysia yang berbeza kaum; Siapa Peduli?
Kumpulan Dato’ Onn
Specialist: Wan Saiful Wan Jan + Nur Asyhraff Mohd Noor
Samad adalah seorang pelajar tahun dua di bidang kejuruteraan di sebuah Universiti di Dublin. Sepanjang tempoh persekolahannya, beliau terpilih antara pelajar yang bijak dan melalui sistem pendidikan berkisar di kalangan melayu di sekolah berasrama penuh.
Di kolej persediaan pula, terdapat sebahagian para pelajar bukan berbangsa melayu tetapi beliau lebih cenderung bersama-sama dengan kelompok dari bangsanya sahaja. Tabiat ini terbawa-bawa sehinggalah beliau melanjutkan pelajaran ke luar Negara.
Beliau masih mencari kelompok-kelompok melayu terdekat dengannya untuk menghabiskan masa lapang dan studi group. Beliau sedar akan kehadiran pelajar Cina dan India di universitinya tetapi pergaulan mereka amat terbatas hanya sewaktu kerja kursus dan majlis makan-makan, Malam Malaysia dan ceramah sekali-sekala anjuran persatuan pelajar.
Samad menjustifikasikan perbuatannya tidak salah kerana hakikatnya para pelajar Cina dan India juga mempunyai kelompok masing-masing seperti dirinya dan tidak ada keperluan padanya untuk bergaul dengan mereka. Tambahan pula, pada Samad, agama dan kebudayaan mereka adalah berbeza sama sekali dan sukar untuk mencari kesefahaman.
Persoalan:
- Kerajaan Malaysia berbangga kerana rakyatnya yang berbilang kaum dapat hidup bersama-sama dalam keadaan yang harmoni. Semua kelebihan ini tertinggal di Malaysia apabila para pelajarnya melanjutkan pelajaran ke luar Negara. Apakah pendapat anda? Adakah anda bersetuju dengan pernyataan ini?
Di bulan Ramadan yang lalu, Samad terserempak dengan seorang yang berbangsa Cina (Malaysian) di dalam sebuah majlis berbuka puasa di rumah rakannya. Apakah reaksi Samad yang proaktif di dalam hal ini?
Sekiranya keadaan ini terus berterusan, apakah yang anda jangka akan berlaku dalam tempoh 30 tahun akan datang?
Mungkinkah pengurusan dan matlamat program yang dianjurkan oleh persatuan pelajar tersebut menyebabkan Samad tidak berminat untuk bergaul dengan rakan-rakan yang berlainan bangsa?
Apakah resolusi anda sebagai seorang pelajar luar Negara dan harapan anda kepada masa depan Negara?
3. Pergaulan Pelajar Melayu: Antara impian dan realiti
Kumpulan Tun Dr Mahathir
Specialist: Suhaib Shafii
Anjar adalah seorang pelajar tajaan Kerajaan yang berjaya melanjutkan pelajaran ke salah satu universiti perubatan terkemuka di Dublin. Seumur hidup Anjar, dia tidak pernah lagi menjejakkan diri ke luar negara. Selama ini, Anjar hanya mengetahui tentang adat dan kehidupan tentang mat saleh dari kaca mata media dan dia mempunyai persepsi tertentu tentang kehidupan mat saleh. Ahli keluarga dan rakan-rakan di Malaysia yang sememangnya berkongsi persepsi yang sama berpesan kepada Anjar agar tidak lupa diri dan asal usul apabila berada di perantauan.
Setibanya di universiti, Anjar mendapati bahawa di dalam kelasnya terdiri daripada sebilangan besar pelajar tajaan Malaysia. Hal ini membuatkan Anjar hidup di dalam komuniti Melayu yang bertempat di Ireland. Kehidupan Anjar seperti duduk di dalam kelas, makan dan minum, di dalam bas, berjalan kaki, pergi bercuti, bermain bola, bersukan pendek kata hampir semua yang dilakukan sepanjang kehidupan di Dublin adalah di dalam kelompok pelajar Malaysia yang lain.
Walaupun hidup di kalangan pelajar Malaysia, Anjar tidak bergiat secara aktif dalam persatuan pelajar Malaysia dan hanya sekadar menghadirkan diri pada aktiviti-aktiviti keramaian seperti pertandingan bola sepak, majlis makan malam, malam Malaysia.. Bagi Anjar, terdapat pelbagai persatuan pelajar Malaysia di tempatnya yang masih samar-samar matlamatnya dan sentiasa bertembung aktiviti-aktivitinya yang membuatkan dia tidak tahu untuk menghadiri yang mana satu dan akhirnya mengambil sikap berkecuali.
Selain itu, masa dimana Anjar dapat bergaul dan berinteraksi dengan pelajar asing lain hanyalah ketika dalam kumpulan kecil yang dibahagikan oleh pihak universiti untuk program tertentu dalam kelas. Namun dalam kumpulan kecil sebegitu, Anjar tidak banyak bercakap, menundukkan diri dan bersikap pasif. Anjar sekadar memerhatikan dari jauh perangai dan sikap pelajar-pelajar asing yang lain dalam menimbang persepsi beliau tentang orang asing.
Apabila hendak pulang ke tanah air setelah tamat 3 tahun belajar, tiada siapa pun rakan asing yang datang menghantarnya di lapangan terbang, hanyalah pelajar-pelajar Malaysia yang lain. Hal ini membuatkan dia terfikir tentang apakah gunanya duduk di negara asing tetapi sekadar mengenali orang-orang yang dating dari tempat asal usul yang sama.
Persoalan:
- Apakah pendapat anda tentang orang yang berjaya dalam pembelajarannya di negara asing tetapi tidak langsung bergaul dengan pelajar-pelajar asing yang lain?
- Mengapakah pelajar-pelajar Malaysia kurang menyertai aktiviti-aktiviti yang dianjurkan persatuan-persatuan di peringkat universiti? Sedangkan aktiviti-aktiviti persatuan di peringkat universiti ini dibiayai oleh pelajar-pelajar Malaysia sendiri.
- Pada pendapat anda, apakah definisi bergaul dengan pelajar-pelajar asing yang lain? Sejauh manakah yang dikatakan bergaul dengan pelajar-pelajar asing?
- Bagaimanakah persatuan pelajar dapat membantu Anjar dalam berhijrah dari zon selesa? Adakah persatuan pelajar itu sendiri menjadi zon selesa bagi para pelajar Malaysia?
- Apakah resolusi anda sebagai seorang pelajar luar Negara dan harapan anda kepada masa depan Negara?
4. Hak Rakyat, Tanggungjawab Kita: Balik ataupun tidak?
Kumpulan Tun Dr Ismail
Specialist: Muhamad Hanis
Ismail adalah pelajar cemerlang yang telah mendapat peluang untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara ditaja oleh JPA. Penajaan tersebut bermaksud Ismail akan menerima sebanyak €935 (tax free) sebulan untuk elaun rumah dan sara hidup. Awal Oktober lepas, beliau tiba dengan hati yang lega dan gembira kerana bebas dari kekangan kewangan.
Berlatarbelakangkan keluarga yang berada, dan berasal dari kota metropolitan, Ismail sentiasa dalam keadaan yang selesa, semuanya cukup! Disebabkan oleh, keadaan kewangan yang stabil, beliau bebas untuk berbelanja, sebahagian elaun dihabiskan untuk pas wayang, ipod, kasut, nintendo wii, tiket bolasepak, melancong dan lain-lain. Bagi Ismail, selagi pelajarannya tidak diabaikan, beliau boleh melakukan apa sahaja dengan elaun yang diberikan itu.
Selepas 5 tahun, sebagaimana yang diharapkan dan dijangkakan, Ismail lulus dan bergelar Doktor. Beliau telah menerima tawaran daripada HSE untuk berkhidmat di Ireland sebagai intern. Dan beliau telah terus berkhidmat di Ireland untuk tahun-tahun seterusnya.
Suatu hari, Ismail terbaca berita melalui utusan online mengenai kemiskinan sebuah keluarga di luar bandar di Malaysia! Dan ada juga yang sedang memohon bantuan kewangan untuk pembiayaan pembedahan kritikal untuk menyelamatkan nyawa anaknya. Peristiwa ini menyebabkan Ismail berfikir panjang seakan-akan memberikan tamparan yang kuat ke pipi Ismail yang semakin berisi, berbeza dengan pipi cengkung anak miskin dalam gambar di utusan online yang dibacanya.
Timbul kesedaran di sanubari Ismail, duit elaun yang membiayai kehidupan beliau disini ketika belajar adalah hasil kutipan cukai hampir seluruh rakyat Malaysia. Dan apabila melihat masih ada lagi rakan senegara yang dalam belenggu kemiskinan tegar, Ismail malu apabila kehidupannya disini, hasil biayaan duit rakyat, adalah lebih daripada mencukupi.
Beliau sehingga kini masih lagi berteka-teki samada untuk terus balik dan berkhidmat di Malaysia ataupun menghabiskan peringkat pertama skim doktor pakar, yang beliau telah gagal berkali-kali semenjak 4 tahun lepas! Masih belum pasti!
Persoalan:
- Apakah cara terbaik untuk menggunakan baki (jika ada) elaun bulanan yang diterima setelah perbelanjaan keperluan asas diambil kira?
- Wang rakyat. Adakah kita sedar?
- Kerajaan sepatutnya menghantar para pelajar yang ingin melanjutkan pelajaran di dalam bidang pengajian politik, tamadun dunia, undang-undang, falsafah, ekonomi, dan kewartawanan ke luar Negara berbanding jurusan sains, bioteknologi dan perubatan yang boleh digiatkan di universiti tempatan. Apakah pendapat anda di dalam hal ini?
- Kecemerlangan seseorang pelajar, dan pelaburan oleh kerajaan: Siapa yang untung? Kerajaan Ireland, Rakyat Malaysia ataupun kepentingan peribadi? (Apa priority anda)
- Apakah resolusi anda sebagai seorang pelajar luar Negara dan harapan anda kepada masa depan Negara?
Facilitators are required to talk more on assigned issues during group discussion
- Language and communication barrier (Hanis + Suhaib)
- Comfort zone and inferiority complex (Hanis + Wan Saiful)
- Malaysian Student Society in Ireland responsibilities (Ruzaimi + Wan Saiful)
- Leadership and confidence building (Suhaib + Asyhraff)
- Learn from Tun Razak (Ruzaimi + Asyhraff)
To download a printable version of these case studies, click here
<< About The Seminar | Event Summary >> |